? ??????????????Dark Tree? ????? ?? ???Rating: 4.3 (23 Ratings)??2920 Grabs Today. 27004 Total Grabs. ????
??Preview?? | ??Get the Code?? ?? ?????????????????????????????????????Look to The Stars? ????? ?? ???Rating: 4.5 (24 Ratings)??2619 Grabs Today. 25992 Total Grabs. ??????Preview?? | BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, March 28, 2010

Sejarah Rumah Melayu Tradisional


Rumah melayu tradisional merupakan salah satu komponen warisan budaya mempunyai sistem tambahan yang membolehkan rumah tersebut bertahan lebih lama. Rumah melayu tradisi yang melalui proses perumahan bebas,menggunakan pertolongan sendiri dan saling bekerjasama,boleh dibezakan dengan pemodenan perumahan bebas yang dibina berdasarkan keperluan dan kehendak pengguna. Kepentingan pembinaan rumah jenis ini, dapat meringankan beban masyarakat yang miskin dan tidak mampu membeli rumah. Hal ini dapat menyelesaikan masalah sosioekonomi dan keperluan budaya masyarakat. Sejarah senibina rumah-rumah Melayu yang didiami oleh orang-orang Melayu adalah kurang jelas, begitu juga dengan sejarah rumah yang didiami mereka. Daripada catatan-catatan yang kurang lengkap membuktikan bahawa mereka telah mempunyai rumah-rumah dalam kelompok-kolompok perkampungan yang biasanya dibina di tepi-tepi sungai ataupun di tepi-tepi laut. Rumah-rumah yang dibina dipengaruhi oleh alam sekitar dan cara hidup masyarakat pada masa tersebut. Dalam hubungan senibina rumah, adalah sangat jelas persamaan yang nyata dengan senibina rumah tradisional yang awal di Singgora dan daerah-daerah lain di Selatan Thai contohnya rumah tiang dua belas di Kelantan dan Terengganu. Dalam kurun ke-15, terdapat pula kerajaan Melayu Melaka yang berlandaskan peraturan agama Islam. Terdapat beberapa catatan yang menerangkan tentang senibina sesebuah bangunan Istana Sultan Mansur Shah, raja yang memerintah Melaka pada tahun 1459 hingga 1477 melalui Sejarah Melayu “ Silalatus Salatin”. Catatan-catatan mengenai bangunan istana tersebut merupakan catatan terawal mengenai sesebuah bangunan masyarakat Melayu, setelah orang Melayu beragama Islam dan tidak dapat dinafikan bahawa senibina istana raja-raja mempunyai pertalian dan hubungan yang sangat rapat dengan senibina rumah-rumah Melayu itu sendiri. Dalam Sejarah Melayu ada catatan yang menjelaskan tentang adat istiadat dan larangan raja-raja Melayu berhubung dengan beberapa peraturan kerajaan di masa pemerintahan Sultan Mansur Syah pada tahun 1424 hingga 1447. Salah satu peraturan adat istiadat itu ialah larangan orang kebanyakan mendirikan rumah beranjung dan rumah bertingkat iaitu mempunyai ruang berloteng yang bertingkap dan beranda. Dalam sejarah Johor, ada terdapat catatan-catatan yang menerangkan tentang serangan angkatan perang Portugis ke Pusat Kerajaan Johor yang berpusat di Kota Batu, Johor Lama. Serangan yang berlaku pada yang berlaku pada tahun 1587 itu telah mengakibatkan sebahagian besar rumah-rumah Melayu telah terbakar hangus. Seorang laksamana Belanda bernama Cornelis Matelief yang dating melawat ke kampung-kampung Melayu sekitar Johor telah melaporkan bahawa rumah-rumah orang Melayu didirikan di atas tiang-tiang yang terdapat di persekitaran seperti pokok-pokok nibung, pinang, buluh, kayu-kayu kecil dan bumbungnya diperbuat daripada nipah, rumbia ataupun bertam.

Konsep Dan Fungsi

Pada umumnya bentuk-bentuk rumah di seluruh dunia terdiri daripada tiga bentuk utama iaitu rumah yang setengah di bawah tanah ( semi subterarinian dwelling ) ,rumah di atas tanah ( surface dwelling ) dan rumah berpanggung ataupun bertiang ( pile dweillings ).Bagi rumah tradisional Melayu adalah termasuk rumah bertiang. Dari aspek fungsi sosial rumah berperanan sebagai tempat berlindung . Rumah Melayu yang bertiang setelah didirikan boleh dipindah dan didirikan semula di tapak lain. Namun,terdapat juga rumah yang dibina kekal di suatu tapak. Rumah,ialah perkataan Melayu yang paling tua, asal penggunaannya masih menjadi tanda tanya Orang-orang Jawa menyebut rumah ialah ‘bhodo’yang memberi makna yang lebih luas. Perkataan “bhodo” ini juga diguna pakai bagi menyebut bangunan yang bukan semata-mata berfungsi sebagai rumah tempat tinggal keluarga. Rumah merupakan tempat berlindung dari hujan dan panas,sebagai pangkalan tempat bertolak,berlabuh dan pulang dan juga sebagai tempat individu dan kemasyarakatan,tempat mengadakan beberapa aktiviti dan pelbagai kegunaan lain lagi. Oleh yang demikian rumah adalah suatu keperluan hidup manusia yang sangat penting selain daripada makan,minum dan pakaian. Masyarakat Melayu tidak dapat dipisahkan dengan rumah sebagaimana mereka lahir, hidup dan mati dan proses ini juga berkaitan dengan rumah sebagai tempat tinggal mereka. Dari sudut psikologi, rumah memberi rasa aman, tenteram, suasana harmoni, tempat mengasuh dan mengasih, mendapatkan ketenangan jiwa dan sebagainya. Orang Melayu beranggapan bahawa rumah adalah sebidang tempat yang menjadi milik mereka di muka bumi ini yang menjadi hak milik mereka yang sebenar-benarnya. Rumah yang menjadi sebagai lambang status pada penghuninya. Oleh kerana itu, setiap orang Melayu masing-masing ada “style” dan cara mereka yang tersendiri berdasarkan kemampuan dan keadaan untuk membuat pilihan sebuah rumah dengan reka bentuk yang menarik. Dari sudut fizikal, pembahagian tiga perenggan dalam struktur bangunan disesuaikan dengan kehendak tempat berlindung,member kekuatan dan juga darikehendak persekitaran,penggunaan bahan dan sebagainya. Struktur bangunan yang memiliki tiga perenggan memberi beberapa tafsiran yang berbeza-beza. Ada yang berpendapat pembahagian tiga perenggan diibaratkan dengan tiga peringkat yang penting dalam hidup manusia,iaitu kelahiran,kehidupan dan kematian yang berlaku tidak jauh dari rumah. Susunan yang berjumlah tiga ini juga memberikan gambaran sebagai tubuh badan manusia yang mempunyai pancaindera. Tiga bahagian itu ialah bahagian kepala,badan dan bahagian kaki. Begitu juga sifatnya rumah Melayu.Bagi menyesuaikan dengan keadaan cara hidup orang Melayu yang sangat mementingkan kehormatan adat resam dan sopan santun yang tidak bercanggah dengan agama islam, struktur bahagian rumah melayu dibina dengan ruangan tertentu, iaitu ruang bagi orang lelaki dan ruang bagi orang perempuan. Ruang bagi lelaki terletak di bahagian hadapan,iaitu di ruang formal yang terdiri daripada serambi, anjung, rumah tangga, lepau atau lembur. Bahagian tengah rumah atau posis digunakan oleh kaum perempuan. Bahagian ini merupakan ruang yang digunakan bagi berbagai-bagai kegiatan dalaman.Bahagian tengah rumah atau bahagian pasif ini mengandungi bilik,ruang khas untuk perempuan dan sesetengah rumah itu mempunyai ruang selasar atau ruang selang,kelek anak dan juga jemuran. Ruangan ini berfungsi sebagai tempat kaum wanita bertemu dan berbual-bual. Bahagian belakang pula dikenali sebagai bahagian dapur atau bahagian aktif. Bahagian ini mempunyai ruang untuk memasak, sebuah para untuk menyimpan barangan dapur, jemuran atau pelantar.

Rumah Melayu tradisi bukan sekadar mengambarkan daya estetika dan kreativiti orang-orang Melayu, malahan mendokong keperluan sosio-ekonomi, budaya dan alam persekitaran. Di luar rumah pula, terdapat perigi untuk kegunaan minuman, mandian dan pencucian. Bagi bahagian bumbung pula, ciri-ciri keistimewaannya ialah kadar ketinggiannya yang dibina dalam bentuk ‘V’ terbalik. Bumbung rumah dilitupi dengan atap yang ringan dan menjadi penyerap haba yang baik yang biasanya dibuat daripada nipah, rumbia dan pelepah bertam. Pada sisi bumbung dilengkapi dengan tebar layar yang menghalang air hujan masuk ke dalam rumah dan membenarkan pengaliran udara keluar masuk. Bahagian lantai rumah melayu pula, biasanya tinggi dan terangkat dari aras tanah. Hal ini demikian kerana kebanyakan rumah Melayu tradisi dibina di sepanjang tebing sungai dan tepi laut, lalu aras lantai rumah Melayu sesuai jika diangkat tinggi dari aras tanah. Di samping berfungsi mengelak banjir, ianya juga sesuai bagi mengatasi serangan binatang buas.sistem ini juga memberikan fungsi pengaliran udara melalui lubang-lubang sempit pada lantai.

Bahan-Bahan Binaan Rumah

1. Kayu

Rumah-rumah Melayu tradisi diperbuat daripada bahan-bahan kayu yang boleh didapati dipersekitaran dan juga kawasan-kawasan hutan. Kayu merupakan elemen yang sangat sesuai, kerana ianya memiliki sifat-sifat alamiah yang baik dalam membentuk kerangka rumah. Kayu juga memiliki sifat elastik atau keanjalan yang mudah dibentuk dalam proses pembinaan rumah. Jenis pokok-pokok kayu yang menjadi pilihan utama dalam membina bangunan rumah adalaah seperti kayu mentaling ( gelegar tiang dan bendul ), serai ( gelegar, alang, rasuk dan jejenang ), merbau ( tiang, rasuk dan tangga ), cengal ( tiang dan rasuk ), bakau kurap ( tiang, rasuk, alang dan kasau ), bakau minyak ( tiang, alang dan kasau ), lengadai ( tiang ) dan kulim ( gulung-gulung, kasau, tunjuk langit dan tulang bumbung ). Bagi bahan-bahan yang bersumberkan buluh pula adalah seperti buluh lentik atau buluh kasap ( lantai,dinding dan kasau betina ), buluh temi ( lantai dan dinding ), buluh akar ( lantai dan dinding ), buluh beting ( tiang, gelegar, rasuk dan bendul ) dan buluh minyak ( lantai, dinding, gelegar, kasau dan alang ). Bahan-bahan lain adalaah seperti batang pinang, bayas, rengas, keruing, balau dan sebagainya.

Sebelum adanya kemudahan seperti masa kini, pada zaman dahulu, kayu untuk kerangka rumah adalah sukar untuk diperolehi. Biasanya orang-orang tertentu terutamanya tukang rumah terpaksa masuk ke hutan selama berbulan-bulan untuk mencari pokok kayu yang sesuai. Mencari kayu dihutan adalah satu tugas yang lebih berat daripada membina rumah kerana terdapat banyak risiko dan halangannya. Oleh yang demikian, orang-orang yang ditugaskan untuk mencari kayu lebih dari lima orang. Hal ini menyebabkan proses pembinaan rumah mengambil masa yang panjang dan bertahun-tahun untuk disiapkan bergantung kepada saiz dan kedudukan kewangan orang yang ingin memiliki rumah. Masa yang begitu lama untuk membina rumah bukanlah disebabkan kelemahan dan tukang mahir tukang-tukang rumah Melayu. Tetapi adalah disebabkan faktor-faktor lain seperti masa yang begitu panjang untuk mencari kayu, proses menjadikan peralatan rumah dan juga masalah kewangan oleh rumah. Kayu-kayu atau kerangka rumah seperti tiang, rasuk, gelegar, alang dan sebagainya terlebih dahulu direndam di dalam sungai hingga berbulan-bulan lamanya supaya kayu-kayu itu tidak mudah dimakan bubuk atau serangga perosak. Oleh itu, jenis kayu yang digunakan mestilah dari jenis-jenis kayu yang baik dan keras.

2. Atap

Pada bahagian bumbung rumah terdapat atap iaitu bahan bangunan yang terletak paling atas pada sesebuah rumah. Terdapat pelbagai jenis atap yang digunakan sebagai penutup bumbung rumah seperti atap cucuh, atap bertam, atap nipah, atap ijuk, atap rumbia, atap genting, atap simen, atap zink dan atap kayu. Atap-atap daun seperti atap cucuh, atap rumbia, atap nipah dan atap bertam merupakan atap yang mula-mula digunakan pada rumah-rumah tradisional Melayu dan masih digunapakai kini. Atap cucuh dan atap bertam berbentuk kajang dimana atap bertam bersaiz lebih besar daripada atap cucuh. Kedua-dua atap ini berbeza dengan atap rumbia yang berumur tiga hingga lima tahun, di mana pelepah-pelepahnya masih rendah dan dapat ditetak dengan mudah. Daun-daun rumbia pula terpaksa diambil menggunakan tangga buluh. Proses membuat atap rumbia sama seperti membuat atap nipah, ia memerlukan bahan-bahan mengkawan atap dan tali untuk menyirat. Pembuat-pembuat atap biasanya dari kaum perempuan, di mana mereka dipanggil ‘pengatap’. Tugas kaum lelaki pula mengambil bahan-bahan tersebut ditempat-tempat tertentu seperti di kawasan-kawasan paya, di tebing-tebing sungai dan sebagainya. Atap ijuk diperbuat daripada rerambut yang terdapat pada batang pokok nau atau kabung, sejenis pokok yang tumbuh di dalam hutan. Pokok-pokok bertam sama jenisnya dengan pokok cucuh, hidup dibelukar dan hutan rimba.

Atap kayu biasanya digunakan pada rumah-rumah raja atau orang-orang besar sahaja terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Atap zink pula telah mula diperkenalkan di semenanjung Malaysia kira-kira kurun ke-19 melalui pengaruh luar. Dalam tahun 1900 hingga 1941, adalah menjadi satu kebanggaan kepada orang-orang Melayu jika rumah mereka menggunakan atap zink. Di Kelantan dan Terengganu, atap genting yang diperbuat daripada tanah liat terutamanya genting singgora telah lama digunakan. Hingga sekarang atap jenis ini masih lagi digunapakai pada rumah-rumah lama yang terdapat di Semenanjung.

Teknik Pembuatan Rumah Melayu

Sikap bergotong-royong orang-orang kampung merupakan satu tradisi yang selalu diamalkan terutama semasa mendirikan sesebuah rumah. Pada gambarajah di bawah,kelihatan tiang yang telah dipasang dengan alang panjang diangkat untuk didirikan.


Lapan batang tiang akan didirikan bersama-sama dengan dua alang panjang. Papan yang dipasang pada tiang adalah untuk menahan atau memegang tiang daripada jatuh. Proses yang selanjutnya ialah untuk memasang alang pendek. Biasanya orang yang mahir atau tukang rumah akan memanjat dan duduk pada hujung alang panjang untuk memasang alang pendek.


Pada bahagian rangka rumah, tukang rumah akan memasang rangka rumah yang terdiri daripada kuda-kuda dan alang. Pada gambarajah di bawah kelihatan juga kain-kain putih dipasang di bahagian kepala tiang.



Seterusnya ialah ,proses memasang atap rumbia atau nipah akan dijalankan untuk sebuah pondok. Biasanya kerja-kerja ini dibuat secara bergotong-royong. Tali yang digunakan untuk mengikat atap ini biasanya dibuat daripada tulang daun nipah atau kulit batang bemban.


Ragamhias Pada Rumah Melayu

Di Tanah Melayu, kegiatan seni ukir memang terkenal di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan. Hal ini demikian kerana negeri-negeri tersebut pernah mempunyai hubungan rapat dengan negeri Patani yang merupakan pusat kegiatan seni ukir yang terkenal suatu masa dahulu. Hubungan di antara negeri ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi perkembangan dan corak seni ukir. Di dalam pembinaan rumah-rumah tradisional, seni ukiran kayu bukanlah sekadar unsur hiasan semata-mata tetapi mempunyai fungsi yang lain yang disepadukan pada rumah-rumah tersebut. Hiasan seperti ukiran tebuk digunakan di tempat-tempat pengaliran udara sebagai unsur permukaan yang memisahkan antara ruang dalam dengan ruang luar. Di samping itu, ukiran tersebut dapat melahirkan pola-pola yang menarik kalau dilihat dari luar dan dalam rumah. Ukiran pola-pola tersebut juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu pola biasa, pola tebuk dan terukir. Motif yang digunakan pada pola-pola tersebut mempunyai beberapa pengertian yang tertentu dan ada kaitan dengan aspek spiritual. Di Tanah Melayu, motif-motif ukiran lebih cenderung kepada penghayatan seni yang berteraskan prinsip keislaman dan ada juga yang berunsurkan tumbuh-tumbuhan, geometri dan kaligrafi.

Namun begitu, dalam keadaan yang terbatas, pelbagai pola yang menarik telah dihasilkan . Ada di antara penggunaan pola-pola ini masih lagi terdapat pada rumah tradisional hingga kini. Hasil ukiran ini jelas menunjukkan kehalusan seni dan kemahiran pengukir kayu yang masih dikekalkan hingga kini. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini, rumah tradisional telah pun hampir pupus dan tidak lagi banyak didirikan. Rumah yang tinggal sudah pun uzur dari segi pemeliharaannya. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan tukang kayu yang mahir seperti zaman dahulu. Perkembangan dan pengaruh seni bina moden banyak mempengaruhi rupa bentuk rumah-rumah di Malaysia. Rumah-rumah moden yang dibuat daripada batu bata dan konkrit telah banyak didirikan berbanding dengan rumah kayu. Keadaan ini juga menjadi lebih buruk lagi apabila kayu dijadikan sebagai bahan komoditi mentah untuk tujuan eksport. Antara pola pola seni ukiran yang terdapat pada sesebuah rumah Melayu ialah Pola Papan Layang, Pola Papan Kepala Cicak, dan Pola Papan Jerejak tingkap.

Alat Pertukangan

1. Ketam

Ketam mempunyai mata pisau yang agak lebar, boleh ditukar dan disesuaikan dengan permukaan kayu. Ia digunakan untuk melicin permukaan kayu atau papan. Antara jenis ketam ialah ketam bunga, dan ketam cuci. Ketam bunga atau juga dipanggil Ketam Perapat atau Ketam Jantan. Ketam ini adalah yang terpanjang. Ia digunakan untuk merata dan melicinkan bahagian tepi kayu bagi pembinaan tanggam temu dan tanggam pasak. Terdapat pelbagai bentuk Ketam Bunga atau Komoi(Loghat Kedah). Ketam ini digunakan untuk membuat berbagai-bagai bentuk bunga pada bingkai, hiasan pada papan cantik dan bunga-bunga pada bucu-bucu kayu. Bentuk mata pisau dapat memberi gambaran bentuk bunga yang akan dihasilkan. Ketam cuci pula digunakan untuk melicin bahagian lurah atau alur. Permukaan lurah yang licin dapat menghasilkan sistem tanggam yang lebih kemas dan berkesan.


2. Tali Sifat / Penarang (Kedah)

Terdapat dua bahagian pada alat ini, iaitu bahagian pemutar benang dan bahagian dakwat hitam. Ia digunakan untuk menanda bahagian kayu yang agak panjang. Caranya ialah dengan menarik benang yang berdakwat supaya tegang di atas permukaan kayu. Benang yang tegang ditarik ke atas setinggi 1 kaki dan dilepaskan di atas permukaan kayu.


3. Gergaji

Terdapat dua jenis gergaji yang biasa digunakan iaitu gergaji pemotong dan gergaji pembelah. Gergaji pemotong digunakan untuk memotong kayu secara melintang manakala gergaji pembelah digunakan untuk membelah kayu secara memanjang. Bagi menghasilkan tebuk tembus, gergaji bunga pula digunakan.


4. Penanda Kayu / Kutu-kutu

Selain pada tali sifat, penanda yang dibuat daripada kayu juga boleh digunakan untuk tujuan di atas tetapi alat tersebut agak sukar digunakan kerana tepi papan mestilah licin dan lurus. Kayu asas yang hendak digunakan perlu dicuci atau diketam dengan baik supaya ia rata dan licin sebelum ditanda.


5. Pepatil / Rembas (Kedah)

Pepatil pula adalah sejenis alat yang digunakan untuk meratakan permukaan kayu. Ia mempunyai mata yang dibuat daripada besi dan mempunyai pemegang yang dibuat daripada kayu teras seperti halban.


Kesimpulan

Kesimpulannya, seni bina Melayu yang tinggi nilai budayanya perlu dipelihara dan dikembangkan untuk generasi muda supaya mereka boleh memahami dan menilainya dengan lebih baik. Lebih beerti lagi sekiranya masyarakat dapat menilai kembali keunggulan seni tersebut dan diterapkan dalam arus pembangunan masyarakat moden. Masyarakat kini seharusnya bersama-sama berganding bahu bagi memastikan seni bina Melayu tidak pupus ditelan zaman. Segala usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak terutamanya dari pihak kerajaan patut disokong oleh rakyat negara ini dalam memastikan kemandirian seni yang menjadi warisan masyrakat Melayu hingga kini.


1 comments:

Anonymous said...

What if I make money from my bank account? - Work Tomake
The more money I febcasino make, the more the choegocasino chance that I get my stake in the casino. I bet I win. The more I get my หารายได้เสริม stake in the casino, the more